Iqlima
Club Guest
- Joined
- Dec 9, 2004
- Messages
- 629
- Points
- 0
KUALA LUMPUR 18 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan agar bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abd. Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta atas penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari kira-kira sembilan tahun lalu. Keputusan tersebut menjadikan bekas Setiausaha Eksekutif Pas itu sebagai bekas tahanan ISA pertama yang berjaya di dalam samannya terhadap polis dan kerajaan. Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memerintahkan kerajaan membayar RM1 juta kepada Abd. Malek bagi ganti rugi am kerana penahanan secara salah, gantirugi am bagi kecederaan dan perubatan sebanyak RM500,000 serta RM1 juta bagi gantirugi teladan. Beliau semasa membaca penghakiman setebal 41 muka surat berkata, plaintif tidak pernah dimaklumkan dengan jelas tentang alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Menurut beliau, defendan pertama (Asisten Supritendan (ASP) Borhan Daud) juga gagal mengemukakan bukti tentang aktiviti plaintif yang dijadikan alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960. ``Dakwaan defendan bahawa plaintif terlibat secara langsung di dalam perhimpunan-perhimpunan haram yang diakhiri dengan kacau bilau hanya dakwaan kosong tanpa bukti material. ``Cara soal siasat jelas untuk tujuan politik dan tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan negara. Dengan kata lain, penahanan sejak dari awal adalah mala fide (dengan niat jahat),’’katanya. Abd. Malek, 51, ditahan di bawah ISA pada malam 25 September 1998 selepas menghadiri satu demonstrasi di Masjid Negara pada tengahari sebelumnya. Beliau yang kini merupakan Pengerusi Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) ditahan selama 57 sebelum dibebaskan pada 21 November 1998. Pada Mac 1999, Abd. Malek memfailkan saman menuntut ganti rugi RM30 juta dengan menamakan ASP Borhan dari Cawangan Khas sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor serta kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga. Di dalam saman itu, beliau mendakwa telah ditumbuk dan disepak termasuk oleh Rahim sehingga tidak sedarkan diri semasa di dalam tahanan selain dipaksa minum air kencing serta didera secara seksual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL). Berhubung dakwaan penderaan di dalam tahanan, kata Hishamudin, plaintif langsung tidak gentar semasa di kandang saksi dan memberi keterangan secara konsisten sebagaimana laporan polis dan dokumen lampiran. Katanya, keterangan itu disokong oleh laporan pemeriksaan perubatan oleh Dr. P. Vasantha bahawa plaintif mengalami kecederaan seperti lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan seperti pergelangan tangan, betis, peha dan kaki. Beliau turut memberi enam lagi alasan termasuk kegagalan polis untuk memasukkan plaintif ke dalam lokap dari pukul 1.30 pagi sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada kira-kira pukul 4 pagi. Begitu juga keterangan tentang kehadiran Rahim di IPKKL antara pukul 12 malam dan 3 pagi untuk bermesyuarat tanpa kehadiran Ketua Polis KL tidak dapat diterimanya. Di dalam penghakimannya, Hishamudin turut mempersoalkan tindakan pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang mengambil masa sembilan bulan untuk menolak laporan polis plaintif tentang penderaan yang dialaminya selain plaintif tidak didakwa kerana membuat aduan palsu. ``Ketiadaan penjelasan tentang jarak dua setengah jam, percanggahan keterangan defendan pertama dan saksi-saksi lain, kegagalan meletak plaintif di dalam lokap membuktikan kemungkinan plaintif telah didera. ``Saya kesal untuk menegaskan bahawa saya juga membuat membuat kesimpulan, penyiasatan yang dijalankan oleh SAC Hadi Ho berhubung laporan polis oleh plaintif tidak ada apa-apa melainkan mere sham (penipuan semata-mata)’’katanya. Semasa membacakan keputusan berhubung ganti rugi teladan, Hishamudin turut membuat kenyataan tegas berhubung tindakan Rahim dalam mengendalikan kes Abd. Malek. ``Kelakuan yang keji oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor amat memalukan dan mengaibkan. Beliau telah menunjukkan contoh yang buruk kepada ribuan anggota dan pegawai di bawahnya. ``Gantirugi teladan penting untuk menunjukkan kebencian mahkamah yang amat sangat terhadap penyalahgunaan kuasa oleh polis dan penyalahgunaan ISA,’’tegas beliau. Abd. Malek diwakili peguam R. Sivarasa dan M. Moganambal manakala semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Iznan Ishak. Abd. Malek semasa ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa gembira dengan keputusan mahkamah hari ini. Katanya, mahkamah akhirnya telah menghukum kerajaan atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pihak polis ``Ini bukan soal wang tetapi soal maruah atas penderitaan dan penderaan yang saya dialami semasa dalam tahanan. ``Sudah tiba masanya untuk kerajaan menyemak dan memansuhkan ISA,’’katanya. Bagaimana pun, kata Abd. Malek, penghakiman bukan sekadar ganti rugi, tetapi juga membawa pegawai polis yang terlibat ke muka pengadilan sebagai pengajaran. ``Ia sangat traumatik. Tidak cukup sekadar ganti rugi, mereka yang mendera saya sekarang terlepas begitu sahaja, malah ada yang mendapat kenaikan pangkat,’’katanya lagi. Dia yang berkot hitam hadir ditemani isteri, Faridah Ishak, 43, dan dua dari empat anaknya, Sajdah Zahra, 16, dan Nurul Zahra, 11. Turut memenuhi galeri awam mahkamah ialah rakan-rakan dan para penyokong beliau termasuk Pengerusi Gerakan Memansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, wakil dari Suaram, Yap Swee Seng dan bekas Ketua Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor. -Utusan I always try to think what behind all media report but not sure about this now, for now it a win :rock: